Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Ramlah Ram tolak lagu raya ‘sampah’

    Penyanyi bertaraf legenda, Ramlah Ram meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang cuba merosakkan industri seni dengan menghasilkan lagu-lagu ‘sampah’ semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat untuk menjual produk.

    Penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini berkata, dia tidak akan bersetuju malah menolak sekeras-kerasnya tindakan sedemikian yang disifatkannya sebagai ‘racun’ yang membunuh industri seni negara.

    “Susah nak cakap. Kita tak pasti apa yang menggalakkan perkara sedemikian berlaku. Yang penting, ada yang menyokong.

    “Bukan lagu raya sahaja, lagu-lagu lain pun, kalau dibuat untuk viral, saya tak suka. Kalau ditanya kepada saya, tentunya saya tidak akan setuju. Tetapi, siapa saya untuk melontarkan pandangan?

    “Orang lain mungkin ada pandangan mereka. Tapi, saya memang tak suka dengan lagu-lagu yang boleh kita sifatkan sebagai ‘sampah’ ini. Yang sekadar untuk tular. Kalau lagu itu sedap, boleh diterima akal, okey,” katanya.

    Ramlah Ram meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang cuba merosakkan industri seni dengan menghasilkan lagu-lagu ‘sampah’. – Agensi

    Ramlah mengulas tentang lagu Kelepok Raya yang dinyanyikan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri Datin Seri Nur Shahida yang tular baru-baru ini. Aliff dikecam hebat gara-gara muzik video lagu berkenaan yang turut menampilkan sekumpulan lelaki lembut menari dalam keadaan yang agak menjengkelkan.

    Pada masa yang sama, penyanyi berusia 57 tahun itu juga berharap agar dunia seni suara dipelihara daripada campur tangan individu-individu tiada bakat nyanyian yang mengaku diri mereka sebagai penyanyi.

    “Saya juga tidak bersetuju kalau ada yang tak boleh menyanyi tapi nak menyanyi. Seorang yang bukan penyanyi, tapi menggelar diri mereka sebagai penyanyi. Semudah itu. Kalau nak menyanyi haruslah seseorang itu boleh menyanyi. Barulah boleh digelar penyanyi.

    “Tentulah, sebagai seorang yang mencintai dunia nyanyian, tak mahu melihat ia diracuni dan dirosakkan oleh perkara-perkara seperti ini.

    “Tetapi kita tak ada daya untuk menghalang. Dengan keadaan di mana media sosial ini digunakan untuk tujuan apa sahaja,” luahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...