DILI, TIMOR LESTE, 20 MEI – Penerima anugerah Nobel, Jose Ramos-Horta telah dilantik sebagai presiden Timor Leste pada Jumaat, berjanji untuk memecahkan kebuntuan politik yang berpanjangan di negara paling muda Asia Tenggara itu ketika ia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-20.
Bekas koloni Portugal itu, yang bebas daripada Indonesia pada 2002 selepas 24 tahun pendudukan, memperingati ulang tahun berkenaan dengan konsert dan persembahan bunga api untuk beribu orang di ibu negara Dili.
Wira revolusi berusia 72 tahun itu, yang juga merupakan bekas presiden Timor Leste, telah menewaskan penjawat sebelumnya, Francisco “Lu-Olo” Gu-terres dalam pilihan raya 19 April lalu, menjamin 62 peratus undi berbanding 37 peratus yang diraih bekas pejuang gerila berkenaan.
Dalam ucapan di parlimen awal pagi Jumaat, Ramos-Horta menyeru bagi perpaduan kebangsaan antara parti-parti bersaing yang mempunyai hubu-ngan kacau-bilau dalam tahun-tahun kebelakangan.
“Saya akan melaksanakan tugasan dengan jujur yang telah diamanahkan kepada saya, dan akan mendedikasikan semua tenaga dan pengetahuan saya untuk mempertahankan dan penyatuan kemerdekaan serta perpaduan kebangsaan,” kata presiden Timor Leste itu.
“Keamanan hanya akan menjadi kenyataan dan berpanjangan apabila ia dicapai menerusi dialog dan saling hormat-menghormati di mana tidak ada parti yang merasa dipaksa dan dimalukan,” tambah beliau, bercakap di hadapan pegawai-pegawai tentera dan diplomatik. – AFP