MADRID, 31 MEI – Sergio Ramos menepis spekulasi dia mahu meninggalkan Real Madrid pada musim panas ini sebaliknya menegaskan dia mahu bersara di kelab itu dan sudah berbaik dengan presiden Florentino Perez.
Kapten Madrid, Ramos mengadakan sidang akhbar di pusat latihan Madrid, Valdebebas untuk ‘menamatkan secepat mungkin khabar angin yang boleh meletus.’
“Saya mahu menetapkan masa depan saya, saya seorang Madridista (penyokong Real Madrid), saya mahu bersara di sini dan satu cara terbaik adalah membentuk semula pasukan ini.
“Hari saya meninggalkan pasukan ini saya mahu menyatakan selamat tinggal dari pintu depan, dengan kemenangan.”
Ramos dan Perez bertelagah Mac lalu susulan kekalahan Madrid di tangan Ajax pada Liga Juara-Juara dan hubungan mereka tegang sejak itu. Perez mendakwa dalam satu temu ramah bersama stesen radio Sepanyol, Onda Cero Isnin lalu, Ramos menyatakan dia mendapat tawaran berpindah ke China, namun kelab itu tidak mampu membenarkan perpindahan itu. Perez membalas Madrid tidak boleh membiarkan kapten mereka pergi secara percuma. – AFP
