ALICANTE, 6 Okt – Kapten Sepanyol dan Real Madrid, Sergio Ramos berisiko mencetuskan ketegangan di kalangan rakan sepasukannya berhubung konflik kemerdekaan Catalonia apabila berkata ucapan Raja Sepanyol di televisyen sebagai ‘sempurna.’
Ucapan Raja Felipe VI, Selasa lalu menyinggung ramai penduduk di Catalan apabila menyifatkan impian pejuang kemerdekaan di wilayah berkenaan sebagai ‘tidak sah.”
Malah Raja Sepanyol itu juga langsung tidak menyebut mengenai mangsa keganasan yang dicetuskan oleh pihak polis rusuhan apabila mereka dicederakan kerana cuba untuk melakukan undian dalam referendum yang tidak dibenarkan.
Bintang veteran Sepanyol itu berkata dia percaya ucapan Raja itu sebagai “Penting bagi semua rakyat di Sepanyol.”
“Saya mengangkat topi saya kepadanya,” kata Ramos dalam sidang media menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2018 antara Sepanyol dengan Albania.
“Walaupun Raja adalah penyokong Atletico Madrid, saya tetap menyukainya,” kata Ramos merujuk pada kelab yang menjadi pesaing sengit Real Madrid.
FC Barcelona dan kapten kelab itu Andres Iniesta, semalam menggesa supaya diwujudkan dialog bagi mencari penyelesaian ketika krisis politik di Catalonia berhubung kemerdekaan kian memuncak.
Pertahanan Barcelona, Gerard Pique secara lantang menyuarakan kritikan terhadap taktik yang digunakan oleh pihak polis dan dia diejek beberapa kali ketika sesi latihan bersama skuad kebangsaan.
Ramos pada minggu lalu berpendapat Pique sepatutnya tidak menyuarakan pandangannya, namun berkata krisis yang melanda Catalonia tidak merosakkan semangat berpasukan.
“Kami mempunyai hubungan yang cukup baik di sebalik perbezaan dari segi pendapat serta cara berfikir yang berbeza,” kata Ramos. – AFP