Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rampas Cintaku raih lebih 100 juta tontonan

    Drama tempatan pertama terbitan aplikasi penstriman, iQIYI iaitu Rampas Cintaku dibintangi Fasha Sandha dan Afieq Shazwan melabuhkan tirai dengan meraih lebih 100 juta tontonan digital.

    Rekod itu meletakkan drama rantaian Rampas Cintaku sebagai kandungan tempatan teratas yang sanggup dibayar pelanggan aplikasi penstriman itu.

    iQIYI menyebutkan sepanjang 14 episod tayangan, drama Rampas Cintaku arahan Ejump Mohd secara konsisten mengungguli carta iQIYI Malaysia dalam kedudukan dua tempat teratas.

    Rampas Cintaku yang disiarkan pada 23 September lalu juga dilaporkan trending dalam platform media sosial TikTok sepanjang tempoh tayangannya.

    Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata pencapaian di luar jangkaan itu dianggap suatu kegembiraan buat syarikat.

    Rampas Cintaku yang disiarkan 23 September lalu dilaporkan trending dalam platform media sosial TikTok sepanjang tempoh tayangannya. – Gambar dari iQIYI

    “Kami sangat gembira apabila karya asli (original) tempatan dan Melayu pertama kami bermula dengan kukuh.

    “Kami juga melihat bahawa rakyat Malaysia sanggup membayar untuk menonton karya tempatan premium ini.

    “Kadar tontonan yang sangat tinggi ini jelas menunjukkan keinginan yang kukuh terhadap kandungan tempatan dengan jalan penceritaan asli yang nyata dan berbeza,” katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

    Mengenai strategi penyusunan kandungan jenama dalam aplikasi penstriman itu, Dinesh berkata, selain mahu menekankan unsur tempatan dalam pemilihan kandungan untuk menarik lebih ramai penonton, iQIYI memberi fokus kepada penambahbaikan senarai tontonan dengan pembayaran fleksibel dan penjadualan tontonan.

    “Selaras dengan komitmen kami untuk menjadi hos kepada hiburan Asia yang digemari, kami menilai perbezaan antara permainan nombor dengan pendekatan setempat apabila ia berkaitan dengan sumber cerita.

    “Fokus kami untuk lebih berani membawakan jalan cerita unik yang mewakili intipati komuniti tempatan yang tidak dimiliki oleh platform lain, selain mewujudkan ekosistem kandungan tempatan yang kukuh,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda