Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rampasan dadah cecah lebih RM459j dalam 10 bulan – Kastam

    KUALA LUMPUR, 21 NOV – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan 594 kes dadah dengan nilai rampasan mencecah RM459.30 juta sejak Januari hingga Oktober lepas.

    Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata jumlah dalam tempoh 10 bulan itu mencerminkan keupayaan operasi yang teguh, kepakaran anggota serta keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan agensi berkenaan.

    Beliau berkata melalui rampasan berkenaan, pihaknya turut mengesan sindiket penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk memanfaatkan perkhidmatan kurier melalui penggunaan nama dan alamat palsu untuk penghantaran bungkusan.

    “Antara modus operandi dikesan ialah menyeludup melalui pintu masuk sempadan Malaysia menggunakan kenderaan yang dibawa individu atau keldai dadah dengan bagasi disembunyikan dalam kenderaan.

    “Mereka juga dikesan mengubah suai kenderaan dengan mewujudkan ruang khas bagi menyorok bahan terlarang itu di bahagian komponen kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anis Rizana berkata sindiket turut menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan basah dari Thailand dengan menyelitkan dadah bersama komoditi berkenaan.

    Selain itu, kaedah ‘drop point’ turut digunakan dengan meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil individu lain sebelum diedarkan termasuk perbuatan meninggalkan dadah di pulau tidak berpenghuni bagi mengelak pengesanan pihak berkuasa. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda