ROTTERDAM, 23 JAN – Pihak berkuasa undang-undang Belanda hari ini mengumumkan bahawa pelabuhan terbesar di Eropah, Rotterdam, menyaksikan penurunan ketara dalam penyeludupan kokain melalui pintu masuknya tahun lalu, memetik langkah-langkah keselamatan yang diperketat dan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh.
Kastam dan polis Belanda menyatakan hampir 26 tan kokain dirampas tahun lalu, berbanding dengan 45.5 tan pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, rampasan di pelabuhan selatan Vlissingen meningkat daripada 11.3 tan kepada 12.6 tan.
Dadah itu mempunyai nilai borong kese-luruhan berjumlah lebih 917 juta euro.
“Untuk tahun ketiga berturut-turut, jumlah dadah yang ditemui di Pelabuhan Rotterdam berkurangan,” kata ketua pendakwa serantau Mariette Bode.
“Di kedua-dua pelabuhan Rotterdam dan Vlissingen, banyak usaha dilakukan untuk menghalang aktiviti pertubuhan jenayah,” katanya kepada wartawan di pelabuhan Rotterdam, menambah bahawa ‘ini adalah penurunan yang positif.’
Ia termasuk langkah-langkah untuk mengawal penggunaan ‘pengekstrak’ yang sering kali digunakan remaja untuk mengambil penghantaran kokain yang disembunyikan dalam kontena yang ditempatkan di sekitar pelabuhan itu. – AFP
