WELLINGTON, 18 FEB – Kastam New Zealand (NZ) merampas kira-kira 101 kilogram kokain, rampasan terbesar jabatan itu di lapangan terbang setakat ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) hari ini.
Dalam satu kenyataan, Kastam memaklumkan bahawa pegawainya mengenal pasti beberapa beg yang tiba menerusi penerbangan Hawaiian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland pada Sabtu.
“Hasil pemeriksaan, pegawai kastam menemukan 85 bongkah bahan yang dibalut dengan plastik pembungkusan hitam dan jernih. Ujian awal mengesahkan ia sebagai kokain,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan turut mendedahkan bahawa dadah terbabit dianggarkan bernilai NZ$35.4 juta (AS$20.2 juta) di pasaran dan boleh menyebabkan sehingga NZ$37.8 juta kerugian sosial serta kos kepada negara.
Pengurus Operasi Sempadan Kastam Dana McDonald memuji rampasan itu sebagai bukti ‘ketelitian dan kecekapan’ pegawai kastam.
“Kami berusaha keras untuk menyekat bekalan dadah dengan matlamat menjejaskan keuntungan jenayah, mengurangkan permintaan pengguna dan menggagalkan usaha mereka mengeksploitasi komuniti NZ.”
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan berterusan rampasan dadah di Lapangan Terbang Auckland sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, pegawai kastam di Lapangan Terbang Auckland merampas lebih 183 kilogram dadah, sekali gus menekankan peranan penting kami dalam melindungi NZ serta persekitaran operasi,” katanya. – Bernama/dpa
