BANGKOK, 28 MEI – Rampasan dadah methamphetamine di Asia Tenggara dan Asia Timur mencatat paras tertinggi tahun lalu, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, dengan ‘gabungan konflik dan kestabilan’ di Myanmar menjadi pemangkin kepada peningkatan pengeluaran dadah haram.
Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam satu kenyataan memetik laporan baharu berkata rampasan methamphetamine di seluruh rantau itu mencecah 236 tan pada 2024 – peningkatan ‘eksponen’ sebanyak 24 peratus berbanding 2023.
Jumlah tersebut hanyalah yang berjaya dirampas dan “terlalu banyak methamphetamine sebenarnya berjaya sampai ke pasaran,” kata wakil sementara UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Benedikt Hofmann.
Thailand mencatat jumlah rampasan methamphetamine terbesar di rantau ini, menjadikannya destinasi utama dan hab transit utama bagi dadah sintetik itu.
Di Myanmar pula, ‘tahap kestabilan’ di kawasan yang terkenal dengan pengeluaran dadah sintetik berskala besar, digabung dengan krisis berterusan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, telah mendorong pertumbuhan pengeluaran dadah yang “belum pernah berlaku,” kata Hofmann. – AFP


