Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Rana musnahkan impian Malaysia ke Sukan Olimpik 2024

    KUALA LUMPUR, 19 JAN – Jaringan penyamaan Rana Waheed Ashraf pada suku keempat memusnahkan impian Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas diikat 3-3 dengan Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen kelayakan di Muscat, Oman, kelmarin.

    Susulan keputusan itu, Malaysia gagal menempatkan diri ke separuh akhir setelah menamatkan saingan kumpulan di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China yang meraih tiga mata, Pakistan (4 mata) dan Great Britain yang mengungguli kedudukan dengan sembilan mata.

    Skuad kendalian Arul Selvaraj harus menyalahkan diri sendiri apabila membenarkan Pakistan bangkit sebanyak tiga kali dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Hoki Oman itu.

    Fitri Saari meletakkan Malaysia di depan menerusi jaringan padang pada minit ke-20 namun kelebihan dimiliki Speedy Tigers hanya bertahan tiga minit angkara Sufyan Khan yang memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan buat Pakistan.

    Malaysia kembali mendahului apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol lawan pada penghujung suku kedua.

    Tiga minit selepas suku ketiga bermula, pasukan bimbingan Sheikh Shahnaz sekali lagi bangkit mengikat skuad kebangsaan, kali ini menerusi Ammad Butt yang melepasi kawalan benteng pertahanan negara untuk menolak bola ke dalam gawang Malaysia.

    Selepas penalty stroke diambil Muhammad Razie dinafikan penjaga gol Abdullah Ishtiaq Khan, usaha keras Malaysia untuk kembali memimpin perlawanan membuahkan hasil apabila Muhammad Firhan Ashari menyumbat gol padang pada minit ke-40.

    Bagaimanapun, kelegaan Malaysia bertukar kekecewaan pada saat Rana Waheed menjaringkan gol padang dalam minit ke-52, sekali gus menjadi wira Pakistan yang mengesahkan kemaraan pasukan itu ke separuh akhir. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...