Rancang bangunan sementara tampung peningkatan kes

Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Terdapat perancangan untuk membuat sebuah bangunan tambahan sementara di Tutong yang boleh menampung 600 hingga 800 orang dan pada masa ini masih dalam proses.

“Dalam masa dua ke tiga hari ini, pihak kementerian berusaha untuk menambah kapasiti dan memperbaiki segala kekurangan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau mengongsikan perancangan berkenaan ketika mengulas mengenai faktor penyebab kelambatan bagi pesakit aktif untuk dipindahkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong iaitu disebabkan kapasiti, kakitangan dan juga dari segi pengangkutan.

Menurut beliau, masih terdapat banyak kes aktif yang menjalani kuarantin di rumah mereka dan ia dianggarkan melebihi 20 orang.

Yang Berhormat Dato telah menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan dengan sokongan agensi-agensi yang berkenaan sedang berusaha untuk memindahkan kes-kes tersebut dengan segera bagi rawatan dan pemantauan lanjut.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Bagi mereka yang masih mengalami tanda-tanda jangkitan, mereka boleh mengambil ubat-ubatan untuk melegakan tanda-tanda tersebut di samping minum air secukupnya dan makan makanan yang sihat dan seimbang.

“Walau bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan untuk keluar rumah bagi mendapatkan ubat-ubatan tersebut dan hendaklah mengasingkan diri daripada ahli keluarga lain,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan sekiranya tanda-tanda jangkitan menjadi semakin teruk atau mereka mengalami sesak nafas, mereka hendaklah segera menghubungi Talian
Kecemasan Ambulans 991.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang dijadikan sebagai tempat pusat pengasingan sementara bagi pesakit yang mempunyai gejala tidak teruk.

Menurutnya, pemindahan pesakit ke kem PKBN akan diawalkan yang mana sebelum ini diumumkan pada hari kelapan dan pemindahan berkenaan adalah disebabkan peningkatan jumlah pesakit.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa apabila seseorang telah didapati positif, mereka akan dimaklumkan, kemudian pihak Kementerian Kesihatan akan mengunjungi rumah mereka untuk membawa ke NIC.

Manakala bagi yang beransur baik dan gejalanya tidak teruk akan dipindahkan ke kem PKBN dan dari sana, sama ada mereka terus balik adalah tertakluk kepada keadaan pesakit berkenaan.

Dalam keadaan negara berhadapan dengan gelombang kedua pandemik COVID-19 ini, beliau menekankan, apa yang penting adalah perbanyakan doa, zikir dan seumpamanya selain menanamkan sifat sabar dalam diri.