Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Para graduan Kolej Perdagangan dan Teknologi Kosmopolitan (CCCT) diharap akan sentiasa bersikap suka memajukan diri, aktif, kreatif dan sentiasa mengisikan waktu dengan aktiviti-aktiviti berkebajikan serta tidak membiarkan waktu berlalu dengan begitu sahaja.
Pada zaman teknologi yang serba mudah, mereka juga diharap akan dapat merancang langkah untuk maju ke hadapan dengan berpegang kepada ajaran agama Islam, mempertingkatkan lagi usaha untuk memperbaiki diri dengan berbekalkan nilai-nilai serta kebolehan yang mendatangkan kemanfaatan dalam menghasilkan generasi yang serba berkemahiran.
Harapan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin ketika berucap pada Majlis Konvokesyen CCCT ke-12 yang berlangsung di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
Beliau memetik titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di mana Baginda bertitah mengingatkan akan kepentingan ilmu pengetahuan, terutama dalam usaha kerajaan menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang mana generasi muda yang berpendidikan tinggi adalah sumber asli negara yang tiada ternilai, rakyat berilmu dan berkemahiran akan mampu untuk memacu ekonomi dan kemakmuran negara.
“Juga turut digalakkan supaya generasi belia untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. Di samping bergantung pada penglibatan banyak pihak, para belia haruslah mempunyai kemahuan yang kuat untuk menjadi pengusaha sendiri, untuk terus menerokai segala bidang, sambil sentiasa up-to-date dengan perkembangan dan menggunakan daya kreativiti melalui kaedah teknologi infokomunikasi iaitu ICT,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa Baginda bertitah memetik mengenai pasaran kerja yang pesat berubah terutama ketika menuju ke arah era revolusi industri ke-4 di mana teknologi digital akan mengubah cara hidup dan juga cara bekerja.
“Inovasi telah meningkatkan produktiviti dan kemapanan organisasi-organisasi dan redefined kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk berkembang maju,” jelas Haji Marzuke lagi. Pada majlis berkenaan, seramai 359 orang graduan pelbagai program CCCT menerima sijil dan diraikan dalam majlis penuh gemilang di mana sijil disampaikan oleh Haji Marzuke.
Hari yang penuh bermakna bagi para graduan itu bukan sahaja dikongsi bersama teman-teman dan pensyarah mereka tetapi juga ibu bapa serta ahli keluarga yang sama-sama hadir untuk memeriahkan lagi saat penuh bersejarah dalam hidup graduan-graduan berkenaan.