Oleh Nurdiyanah R. –
Apabila berbicara mengenai detik pengalaman setiap perjalanan tidak kiralah jauh atau dekat ketika menuju ke destinasi-destinasi menarik dalam negara mahupun luar negara, ia sememangnya bergantung kepada jiwa peribadi insan itu sendiri sama ada ia sekadar untuk bersantai semata-mata ataupun bagi meluaskan pandangan dan menambahkan ilmu pengetahuan.
Namun dalam menikmati keseronokan perjalanan di mana-mana lebih-lebih lagi di musim cuti hujung tahun ini, semua pengguna jalan raya harus sentiasa menyemai budaya mementingkan langkah-langkah keselamatan dan mengamalkan etika penggunaan jalan raya dengan selamat dari semasa ke semasa.
‘PATUHI DAN PANTAU’ DEMI KESELAMATAN BERSAMA
Sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah sentiasa mengambil langkah dan usaha berterusan bagi mengelakkan kemalangan berlaku iaitu dengan tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda had laju, keselamatan dan lampu isyarat serta menumpukan perhatian kepada jalan raya semasa memandu.
Begitu juga, para pemandu disarankan sentiasa memperlahankan kenderaan ketika menghampiri kawasan lampu isyarat, persimpangan, kawasan sekolah dan perumahan, memandu dengan hemah dan waspada di kawasan aktiviti riadah di mana ramai pengguna jalan raya yang lain seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal.
Di samping itu, para pengguna jalan raya juga diingatkan supaya menggunakan tali pinggang keledar ketika memandu atau menjadi penumpang kenderaan. Hal ini disebabkan hentakan yang lebih teruk bagi sesiapa yang tidak memakainya apabila berlakunya kemalangan.
IRINGI PERJALANAN DENGAN DOA DAN ZIKIR
Sebagai hamba Allah SWT, memohon keselamatan sebelum memulakan perjalanan adalah penting. Oleh itu, mengamalkan doa dan zikir sebelum memulakan perjalanan sehingga sampai ke tempat yang dituju adalah salah satu usaha untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.
Sesungguhnya doa merupakan senjata orang Islam untuk memohon segala hajat dunia dan akhirat, termasuklah doa keselamatan dan perlindungan dari segala bahaya dan bencana.
Dalam pada itu, antara yang perlu diamalkan untuk memohon perlindungan semasa berada di jalan raya adalah ketika hendak keluar rumah disunatkan membaca doa-doa tertentu, termasuk doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW ketika Baginda keluar dari rumah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, yang maksudnya ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu daripada tersesat (daripada petunjukMu), atau aku disesatkan, atau aku tergelincir (daripada kebenaran), atau aku digelincirkan, atau aku berlaku zalim, atau aku dizalimi, atau aku melakukan kejahilan, atau orang lain melakukannya terhadapku (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)’.
Manakala ketika menaiki kenderaan atau memulakan perjalanan, biasakan membaca doa antaranya yang bermaksud ‘Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah, kami memohon kepadaMu dalam perjalanan ini, berupa kebajikan dan takwa, serta amal yang Engkau redhai. Ya Allah, memudahkanlah bagi kami dalam perjalanan ini dan dekatkanlah jaraknya. Ya Allah, Engkaulah sebaik-baik teman perjalanan dan sebaik-baik pelindung bagi keluarga (ku). Yang Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesusahan perjalanan, keburukan pandangan, dan bencana yang menimpa harta dan keluarga (ku)’.
MALANG TIDAK BERBAU
Semoga dengan menanamkan sikap berhati-hati, sabar, bertolak-ansur, mematuhi peraturan jalan raya, bertawakal serta berdoa ke hadrat Allah SWT, semua pengguna jalan raya akan terhindar daripada segala perkara yang tidak diingini.
Berhati-hatilah, jangan disebabkan oleh kelalaian dan kesilapan membawa padah kepada diri sendiri mahupun orang lain apatah lagi hingga menyebabkan kehilangan nyawa, ibarat pepatah malang tidak berbau.