SETIAP orang yang merancang pasti ada memasang azam yang ingin dicapai pada tahun 1440 Hijrah ini, tidak kira dari segi kewangan, kesihatan, kerjaya, keluarga, peribadi dan lain-lain. Satu azam yang mesti kita ada sebagai seorang Islam adalah untuk memperbaiki diri menjadi muslim yang lebih baik. Antara tip untuk berubah adalah seperti berikut:
Ilmu
Setiap perkara yang ingin dilakukan dan setiap cita-cita yang ingin dicapai mestilah dilaksanakan dengan ilmu. Kita harus faham mengapa kita harus berubah, ke arah mana kita harus berubah, setakat mana tahap yang perlu dicapai dan yang paling penting bagaimana untuk melaksanakan perubahan tersebut.
Sebagai seorang Islam, perkara paling penting yang harus difahami adalah tujuan kita diciptakan di dunia ini dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan dijelaskan oleh hadis-hadis Nabi SAW.
Hakikat yang agak menyedihkan adalah kebanyakan dari kita gagal memahami apatah lagi melaksanakan tuntutan-tuntutan sebagai seorang Islam.
Ikhlas
Setiap perkara yang dilakukan haruslah ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Perkara ini memang senang diungkapkan, tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan kerana sebagai manusia yang lemah, kita sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor keduniaan dan keuntungan yang boleh diperoleh di dunia dan boleh memesongkan niat kita dari Allah SWT. Dari itu untuk ikhlas, kita harus menjalani proses latihan yang panjang untuk membuang segala kebergantungan kita kepada dunia dan menjadikan Allah semata-mata sebagai matlamat.
Keazaman yang tinggi dan tindakan
Sesudah mempunyai ilmu, matlamat yang jelas, niat yang ikhlas, kita harus melaksanakan segala tindakan yang sudah dirancang dengan disiplin yang tinggi. Senarai tindakan harus sentiasa disemak dan dipastikan pelaksanaannya dan sesi ‘menilai diri’ dilakukan secara konsisten untuk melihat keberkesanan pelaksanaan tersebut dan bagaimana untuk memperbaikinya.
Persekitaran dan support group yang kondusif
Melakukan perubahan dan penambahbaikan bukanlah untuk beberapa ketika sahaja. Namun itulah yang sering terjadi kerana perubahan yang berterusan adalah satu proses yang sukar dan panjang dan adalah mustahil dilakukan tanpa sistem sokongan dan persekitaran yang membantu. Akan datang waktu-waktu di mana sebagai manusia kita akan berasa lemah, namun di saat inilah keluarga, rakan-rakan dapat membantu memberikan semangat untuk terus kekal istiqomah.
Doa dan tawakkal
Sebagai seorang Islam, kita harus yakin bahawa hidayah adalah milik Allah dan kita wajib memohon untuk mendapat hidayah dengan berdoa. Dalam hadis Qudsi yang sahih, Allah SWT berfirman:
“Wahai hamba-hambaKu, kalian semua tersesat kecuali orang yang Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepadaKu niscaya Aku akan berikan petunjuk kepada kalian.” (Hadis riwayat Muslim).
Kita juga harus yakin bahawa segala tindakan baik atau buruk adalah atas kehendak Allah dan kita sebagai hambaNya harus bersyukur atas nikmat kebaikan yang dikurniakan dan memohon serta berusaha bersungguh-sungguh untuk dihindarkan dari amalan yang buruk.
Kesimpulannya, kita sebagai seorang Islam harus berusaha untuk berubah dan mendapat hidayah dan tidak hanya mengharap hidayah dengan angan-angan kosong tanpa usaha yang rapi dan tersusun. Firman Allah dalam Surah As-Syam, ayat 8 hingga 10 yang bermaksud:
“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”
Semangat hijrah pada jiwa remaja
Semangat hijrah yang dirintis oleh Rasulullah SAW harus hidup pada jiwa remaja di sepanjang zaman. Cintakan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan membina jiwa tadabbur yang tinggi untuk kesejahteraan manusia adalah hijrah yang amat bermakna. Menjaga kepentingan akhlak dan tingkah laku adalah pra syarat ke arah membina peribadi yang baik. Berhijrah ke arah pembinaan akhlak yang tinggi adalah asas untuk perubahan yang bermakna.
Memiliki upaya menyaring yang tinggi terhadap faktor baik dan buruk adalah syarat penting untuk berinteraksi dengan kehidupan dan zaman. Darinya harus mendorong remaja untuk membina kekuatan ilmu, akhlak dan keterampilan supaya tenaga muda dapat digerakkan ke arah perubahan dan kemajuan yang lebih bermakna.
Jiwa hijrah ke arah kebaikan perlu ada di kalangan remaja. Menebus kehinaan umat Islam mesti bermula dengan ilmu. Ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing remaja ke arah hidup yang fitrah. Mengembalikan tradisi sains dan teknologi berunsur Islam sewajarnya menjadi tekad remaja supaya pendidikan sains bakal mendekatkan manusia dengan pencipta dan membangunkan teknologi yang memberi manfaat kepada umat manusia.
Jiwa hijrahlah yang mampu mencetuskan kesedaran dan keinsafan dalam kalangan remaja bahawa tanpa akidah yang benar, iman yang mantap dan takwa yang tinggi tidak mungkin hijrah dalam erti kata yang sebenar boleh berlaku. Hijrah yang didukung oleh kekuatan ilmu, akhlak dan amal bakal merubah corak hidup manusia ke arah perubahan yang lebih bermakna. Hijrah seperti inilah yang amat diperlukan oleh remaja dan umat manusia. – Agensi