Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rancangan alternatif penilaian bagi O Level perlu persediaan rapi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, memberi respons kepada soalan tambahan yang diajukan oleh Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin mengenai rancangan alternatif penilaian bagi O Level.

    Yang Berhormat Datin dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, pada hari ke-8 hari ini, turut menyambut baik kepada soalan yang diajukan oleh ahli MMN di persidangan itu.

    “Mengenai dengan kaedah alternatif, ianya bukan sekadar laluan alternatif, tetapi ia adalah juga mengenai dengan penilaian, yang mana selain daripada O Level, pelajar-pelajar turut mengambil atau menduduki peperiksaan GCE O Level dan juga IGCSE,” jelasnya.

    Yang Berhormat Datin seterusnya mengongsikan, memang ada perancangan daripada pihak lembaga peperiksaan yang menawarkan program ataupun penilaian untuk mengubah kepada satu peperiksaan yang mungkin mempunyai kandungan ataupun format pemeriksaan yang sedikit berubah iaitu kepada IGCSE, yang mana akan berkuatkuasa dalam beberapa tahun lagi.

    “Kementerian Pendidikan pun baharu mendapat penghebahan mengenai dengan pertukaran peperiksaan ini pada beberapa bulan yang lepas,” jelasnya.

    Katanya lagi,“ianya akan mula berkuatkuasa dalam beberapa tahun lagi, kerana ia memerlukan satu persiapan, bukan sekadar daripada pihak guru-guru dan juga kurikulum, tetapi mentaliti para pelajar, kerana cara menjawab akan berubah daripada tahap kesukaran.”

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa memberikan respon pada Persidangan MMN ke-21. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Ini sebagai contoh, jelas Yang Berhormat Datin, daripada tahap pengetahuan ke tahap pemahaman, dan ia memerlukan persediaan yang sangat rapi.

    “Kementerian Pendidikan akan terus berhubung dan bekerjasama dengan pihak yang menyediakan lembaga peperiksaan ini, untuk memberikan lagi pencerahan dari segi kurikukulum, dari segi format penilaian agar ianya akan dapat terus diberigakan kepada pihak-pihak sekolah dan seterusnya kepada pelajar-pelajar”.

    Semasa menjawab soalan tambahan itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut mengongsikan, Kementerian Pendidikan melalui Unit EDGE atau Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas, Pintar dan Berbakat di bawah Jabatan Pendidikan Khas juga melaksanakan penggunaan platform Morrisby.

    “Ianya merupakan satu platform penilaian psikometrik untuk membantu pelajar-pelajar yang menunjukkan kecenderungan dan pencapaian akademik yang sangat baik, yang cerdas dan berbakat, selain mengenal pasti kekuatan dan kebolehan semula jadi pelajar,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, profil Morrisby mengumpul potensi dan kemahiran atau pengetahuan yang diperolehi, dan tidak terlalu dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan ataupun sosial.

    Ia menyediakan proses yang komprehensif mengenai pembentukan intelektual seseorang serta cara bagaimana kebolehan mereka digunakan.

    Yang Berhormat Datin turut mengongsikan sejak menggunakan platform ini bermula Julai 2022, seramai 78 pelajar yang berumur 15 tahun ke atas telah melengkapkan profil Morrisby, dan 48 pelajar berumur 12 hingga 14 tahun telah melengkapkan aspirasi Morrisby.

    “Pada masa ini pihak Kementerian Pendidikan belum ada perancangan juga untuk melaratkan penggunaan Morrisby kepada semua pelajar ke seluruh negara,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda