Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rancangan larangan sumbangan politik didedah

    CANBERRA, 13 JUN – Ketua Menteri Australia Selatan (SA) telah mencadangkan undang-undang baharu untuk melarang sumbangan dan hadiah kepada ahli politik, calon politik dan parti politik, lapor Xinhua.

    Peter Malinauskas pada Rabu malam mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan pembaharuan pilihan raya yang akan melarang sumbangan pilihan raya dalam politik negeri di SA.

    Di bawah undang-undang yang dicadangkan itu, mereka yang melanggar larangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda A$50,000 (AS$33,311).

    Dalam ucapan di acara University of South Australia (UniSA), Malinauskas mengakui bahawa undang-undang itu boleh dicabar di Mahkamah Tinggi atas alasan perlembagaan tetapi berkata cadangan berkenaan akan menjadikan SA sebagai peneraju dalam memutuskan hubungan antara wang dan kuasa politik.

    “Kami mahu wang dikeluarkan dari politik. Kami tahu ini tidak mudah. Pembaharuan ini mungkin menghadapi cabaran undang-undang.

    “Tetapi kami bertekad untuk melaksanakannya dengan Rang Undang-Undang yang akan diperkenalkan di parlimen dalam masa terdekat,” katanya.

    Malinauskas berkata pinjaman kepada ahli politik, calon dan parti politik yang berdaftar juga akan dilarang kecuali jika ia datang daripada bank atau institusi kewangan lain.

    Parti dan calon akan menerima pembiayaan negeri untuk pilihan raya, kempen dan mempromosikan idea politik.

    Parti politik dan calon baharu akan dibenarkan menerima sumbangan bernilai sehingga A$2,700 (AS$1,799) untuk memastikan mereka tidak berasa kekurangan berbanding lawan yang sudah lama bertapak.

    Yuran keahlian parti juga akan dibenarkan tetapi dihadkan kepada maksimum A$100 (AS$66.6) setahun.

    Malinauskas berjanji untuk mengharamkan sumbangan politik menjelang kemenangannya dalam pilihan raya Australia Selatan 2022, dengan mengatakan pada masa itu bahawa ia adalah langkah yang perlu untuk mengembalikan kepercayaan dalam demokrasi. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda