Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Rancangan realiti Korea raih populariti global

    SEOUL – Cabaran ini terinspirasi daripada mitologi Yunani: menahan batu tongkol selama mungkin.

    Pengedar kereta Korea, Jo Jin-hyeong menahan batu itu lebih dua jam, menarik perhatian penonton global dalam rancangan realiti yang boleh menandakan kejayaan baharu dalam eksport budaya Korea.

    Selepas filem-filem seperti Parasite yang memenangi Oscar dan siri TV termasuk Squid Game yang mengungguli Golden Globe membantu mempopularkan kandungan K di luar negara, tokoh industri berkata rancangan realiti berkualiti tinggi Korea Selatan mungkin akan mendominasi.

    Physical:100, rancangan Netflix baharu yang ditan-dingi peminat gimnasium, Jo menampilkan 100 lelaki dan wanita dalam keadaan fizikal terbaik, termasuk bekas Olimpik

    Korea Selatan dan bekas tentera pasukan khas, melakukan cabaran yang tidak masuk akal.

    Ia merupakan siri tanpa skrip pertama yang mendahului carta bukan Inggeris gergasi penstriman itu, berdasarkan populariti Singles Inferno, rancangan temu janji Korea yang menjadi popular di seluruh dunia tahun lepas.

    Pengedar kereta Korea Jo Jin-hyeong, peserta dari rancangan Netflix baharu Physical: 100, ketawa semasa temu bual AFP di Seoul. – AFP
    Peminat menunggu peserta daripada Physical:100, rancangan Netflix baharu, semasa acara promosi di Seoul. – AFP

    Pengedar kereta Korea Jo Jin-hyeong (tengah) dan ahli gusti Jang Eun-sil (kanan), kedua-duanya peserta dari rancangan Netflix baharu Physical: 100, menandatangani autograf untuk peminat semasa acara promosi di Seoul. – AFP

    Sebahagian daripada daya tarikan pertunjukan sebegitu ialah peserta: Jo, yang mula bergiat dalam gimnasium semasa zaman remaja lemah longlai dan tidak pernah menjadi atlet profesional, mendapati dia boleh bertahan menentang beberapa orang terkuat Korea Selatan.

    Jo yang berusia 41 tahun memenangi salah satu pertan-dingan dalam pertunjukan itu, cabaran Punishment of Atlas yang diilhamkan oleh mitos Yunani, di mana peserta terpaksa mengangkat dan memegang batu yang dianggarkan oleh peserta bina badan Kim Kang-min sekurang-kurangnya 50 kilogram.

    Jo berjaya mengharunginya selama dua jam dan 14 minit.

    “Apabila saya mengangkatnya, saya fikir ia akan berakhir dalam masa kira-kira 30 minit,” katanya kepada AFP, sambil berkata dia terus memberitahu dirinya sendiri: “Bertahan selama 10 minit lagi, kemudian 10 minit lagi.”

    Dia mendapat tempat keempat keseluruhan dalam persembahan itu. Ia merupakan satu pencapaian yang menurutnya tidak pernah terfikirkan akan dicapai suatu ketika dahulu.

    “Saya mula bersenam di sekolah menengah kerana saya terlalu lemah.

    “Saya mahu menjadi lebih kuat,” katanya, semakin beremosi apabila memikirkan tentang dirinya semasa muda, dan dia bersyukur kerana tidak berputus asa.

    Sihat dan tulen

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kandungan Korea Selatan telah menggemparkan dunia, dengan lebih 60 peratus penonton Netflix menonton rancangan dari negara Asia Timur itu pada 2022, menurut data syarikat.

    Netflix, yang membelanjakan lebih 1 trilion won (AS$759 juta) membangunkan kandungan Korea dari 2015 hingga 2021, berkata ia sedang mengembangkan keluaran rancangan realiti Korea Selatan tahun ini.

    “Rancangan bukan fiksyen Korea tidak meluas sebelum Netflix mula membawanya ke global,” kata naib presiden kandungan Korea syarikat itu, Don Kang.

    “Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk menjadikan rancangan lebih mudah difahami oleh khalayak global,” katanya, seperti memudahkan sari kata.

    Peniaga kereta, Jo berkata, dia berpendapat rancangan itu terbukti popular di luar negara kerana rasa setiakawan yang tulen dalam komuniti sukan Korea Selatan.

    “Kami saling bersorak dalam setiap pertandingan, menghiburkan satu sama lain apabila ada yang kalah,” katanya kepada AFP.

    Kesempurnaan relatif rancangan realiti Korea Selatan adalah bahagian teras tarikan mereka kepada penonton asing, kata Regina Kim, seorang penulis hiburan dan pakar kadungan Korea yang berpangkalan di New York City.

    “Ia seperti menghirup udara segar untuk penonton Amerika yang mungkin bosan menonton bintang realiti bergaul atau bergaduh sepanjang masa,” katanya kepada AFP.

    “Pasti ada lebih banyak rancangan realiti Korea yang menjadi popular di luar negara, termasuk di AS,” katanya sambil menunjuk kepada format realiti Korea berjaya yang telah menjadi francais global.

    “Terdapat rancangan realiti Korea buatan semula AS seperti The Masked Singer dan I Can See Your Voice yang sangat popular di sini,” katanya, merujuk kepada rancangan muzik Korea Selatan yang popular kemudiannya dihasilkan dalam Bahasa Inggeris oleh Fox.

    Peminat global

    Physical:100 mencetuskan beberapa kontroversi dengan peserta berlainan jantina beradu kekuatan antara satu sama lain, menimbulkan persoalan sama ada ia adil. Akhirnya, lima peserta terbaik adalah lelaki.

    Tetapi Jang Eun-sil, salah seorang daripada 23 wanita yang bertanding dalam persembahan itu, memberitahu AFP dia mendapati format itu asli dan segar, dan ia membantu memotivasikannya sepanjang cabaran.

    “Saya hanya memberikan yang terbaik setiap saat, jadi saya tidak menyesal dan tidak pernah terfikir ia tidak adil,” kata ahli gusti berusia 32 tahun itu, yang dipuji ramai kerana kepimpinan yang ditunjukkannya dalam rancangan itu.

    Walaupun dia tidak menang, dia berkata dengan bertanding membolehkannya membawa sukan kegemarannya kepada khalayak yang lebih luas.

    “Sejujurnya, gusti merupakan sukan yang tidak popular di Korea Selatan,” katanya, sambil menambah ia adalah penghormatan besar kerana lebih ramai rakyat Korea Selatan menyedari bahawa ahli gusti wanita wujud.

    Dia juga melihat kemasukan peminat global membanjiri akaun media sosialnya.

    “Saya kini merancang untuk menambah sari kata Bahasa Inggeris ke saluran YouTube saya,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...