Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rangers di ambang penyingkiran Liga Juara-Juara

    PARIS, 20 OGOS – Rangers dilihat berdepan kemungkinan gagal mara ke Liga Juara-Juara selepas tewas 3-1 di gelanggang sendiri kepada Club Brugge pada aksi pertama play-off, semalam.
     
    Pasukan Scotland itu bermula dengan malang apabila kekeliruan di bahagian pertahanan membolehkan Romeo Vermant melepasi pertahanan dan menghantar bola melepasi penjaga gol Jack Butland dari jarak 30 ela.
     
    Pertahanan Jorne Spileers menyambar sepakan sudut untuk menggandakan kelebihan Brugge dalam tempoh tujuh minit di Ibrox.
     
    Suasana di stadium bertambah suram apabila pertahanan tengah Brandon Mechele meledak gol ketiga dari luar kotak penalti pada minit ke-20.
     
    Danilo menjaringkan gol sagu hati pada awal separuh masa kedua, namun Rangers kini berdepan tugas berat menjelang aksi timbal balik minggu depan di Belgium.
     
    Hamza Igamane dari Rangers terbaring di atas padang selepas wisel penamat perlawanan pertama play-off Liga Juara-juara antara Rangers FC dan Club Brugge di Glasgow, Scotland, pada 19 Ogos. – AP
    “Kami mahu layak ke Liga Juara-Juara dan kami akan melakukan segala-galanya minggu depan,” kata pengurus Rangers, Russell Martin kepada Amazon Prime.
     
    “Gol itu (Danilo) mengubah segalanya. Kami mempunyai peluang untuk mengejar. 
     
    “Kami masuk sebagai pasukan bukan pilihan, saya akan menikmati itu dan saya rasa para pemain juga akan menikmatinya.”
     
    Qarabag dari Azerbaijan menang 3-1 ke atas Ferencvaros di Hungary untuk melangkah lebih dekat ke peringkat liga.
     
    Pasukan Cyprus, Pafos, yang membuat penampilan pertama mereka di pentas Eropah dalam Liga Konferensi UEFA musim lalu, menang 2-1 di Red Star Belgrade. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda