GLASGOW, 25 FEB – Gergasi Liga Perdana Scotland, Rangers, kelmarin melantik Barry Ferguson sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim selepas pemecatan Philippe Clement.
Kelab dari Glasgow itu mengumumkan pemergian pengurus Belgium tersebut pada Ahad, sehari selepas kekalahan 2-0 di laman sendiri kepada St Mirren.
Rangers yang berada di tempat kedua ketinggalan 13 mata di belakang pesaing utama, Celtic, dalam saingan liga dan baru-baru ini mengalami kekalahan mengejut dalam Piala Scotland kepada Queen’s Park.
Bekas pemain tengah Scotland, Ferguson, 47, memenangi pelbagai trofi di Ibrox sepanjang kariernya selaku pemain dan pernah mengendalikan kelab Clyde, Kelty Hearts dan Alloa.
Ketua Eksekutif Rangers, Patrick Stewart, menyambut kepulangan Ferguson pada ‘waktu yang sukar’.
Beliau memberitahu laman web kelab itu, “Philippe dan pasukannya telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang berada di kelab ini dan telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain muda pasukan utama.”
“Saya ingin menegaskan semula, isu yang kami hadapi lebih mendalam daripada sekadar pengurus.
Kajian bola sepak yang sedang dijalankan bertujuan untuk menangani isu-isu tersebut dan kami akan terus melaksanakan penemuan-penemuannya dalam beberapa minggu dan bulan akan datang sebelum melantik pengurus tetap yang baharu.” – AFP
