Oleh Imelda Groves HA
SEBUAH lagi filem seram hasil terbitan produksi tempatan bakal menemui penonton di pawagam-pawagam berhampiran pada tahun depan. Filem bertajuk Ranggau terbitan qd’roses Vision Production ini diarahkan oleh Roslee bin Haji Metali.
Filem ini mengisahkan antara dua zaman berbeza, iaitu zaman sekarang dan zaman lampau. Dendam antara dua pengamal ilmu sesat yang sering bermusuhan hingga keluarganya sendiri menjadi mangsa keadaan. Akibatnya, keluarga Denny (zaman sekarang) menjadi ketakutan dan terimbaslah kisah-kisah lampau. Atas bantuan seorang ustaz segala makhluk-makhluk jahat dapat diatasi dengan izin Allah Subahanallah Ta’ala.
Ranggau dibintangi oleh pelakon-pelakon tempatan yang terdiri dari Haji Samri, Diana, Suzanna Maidin, Nyssa Matussin dan Ibnue.
Berdurasi selama 93 minit, filem yang menggunakan bahasa Melayu Brunei ini adalah filem seram keempat yang pernah diterbitkan oleh warga negara Brunei Darussalam. Pengarah filem Ranggau, Roslee berharap semoga filem ini akan mendapat sokongan sepenuhnya dari orang ramai, khususnya peminat-peminat cerita seram.
“Tanpa sokongan padu dari penonton, pihak kerajaan dan swasta khususnya panggung wayang filem ini tidak akan tercipta. Saya berharap pihak panggung wayang memberikan keyakinan terhadap filem tempatan demi untuk berkarya di layar perak. Tanpa kerjasama sedemikian anak-anak tempatan tidak akan ke mana dan sukar untuk berkembang”, jelasnya.
