PARIS, 17 NOV – Rangka dinosaur sepanjang 22 meter telah berjaya dijual pada harga enam juta euro (AS$6.4 juta) dalam satu lelongan di Paris, menurut rumah lelongan Collin du Bocage dan Barbarossa.
Pembeli tanpa nama memperoleh apatosaurus tersebut pada harga 4.7 juta euro, yang meningkat kepada enam juta euro setelah mengambil kira kos tambahan.
Pembeli berjanji untuk meminjamkan rangka itu kepada sebuah muzium untuk dipamerkan.
“Kami gembira kerana pembeli bercadang untuk meminjamkannya kepada sebuah institusi,” kata Olivier Collin du Bocage.
Rangka dinosaur herbivor gergasi itu terdiri daripada 75 hingga 80 peratus tulang asal dan berusia kira-kira 150 juta tahun.
Rumah lelong Barbarossa menyatakan dalam laman webnya bahawa itu adalah “dinosaur terbesar yang pernah dijual dalam lelongan di seluruh dunia.”
Selepas ditemukan dan digali, rangka dinosaur itu dihantar ke Perancis selama dua tahun untuk kerja pemulihan di Makmal Paleomoove di Luberon, di tenggara Perancis.
Sepanjang musim panas, rangka gergasi itu dipamerkan di orangerie di Dampierre-en-Yvelines, sebuah chateau kira-kira 50 kilometer barat daya Paris, tempat lelongan diadakan.
Fosil apatosaurus, yang diberi nama ‘Vulcan’, ditemui pada tahun 2018 di Wyoming, AS, di mana undang-undang membenarkan individu mendapatkan konsesi untuk menggali tulang prasejarah.
Penggalian dilakukan antara tahun 2019 hingga 2021, dibiayai oleh seorang pelabur dari Perancis. – AFP