Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rangka ditemui di tempat kebakaran

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2006 – Kawasan kebakaran hutan biasa di Jalan Tungku berhampiran Pusat Jualan Holtikultur tiba-tiba bertukar menjadi kawasan siasatan ekoran penemuan rangka yang belum dapat disahkan identiti sebenar.

    Rangka ditemui apabila seorang pegawai Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat yang memeriksa kawasan kejadian kebakaran belukar di situ dikejutkan dengan penemuan tengkorak. Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat terus melaporkan penemuan kira-kira pukul 6 petang itu kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

    Bagaimanapun, pegawai polis belum dapat mengesahkan sama ada rangka yang ditemui itu adalah rangka manusia atau binatang.

    Jurucakap bomba dan penyelamat di tempat kejadian memberitahu media mereka menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran belukar di sekitar kawasan Jalan Tungku kira-kira pukul 3:15 petang lalu mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelemat Bandar Seri Begawan dan Beribi ke tempat kejadian bagi mengawal kebakaran.

    Setibanya di sana, mereka mendapati api telah merebak dan anggota bomba dan penyelamat diarah menubuhkan empat kumpulan bagi mengawal kebakaran itu.

    Ketika menjalankan kerja-kerja mengawal dan memadamkan api di kawasan belukar itu salah seorang anggota bomba terjumpa rangka berkenaan.

    Polis kini menutup kawasan penemuan itu kepada orang bagi memudahkan Unit Siasatan Jenayah melakukan siasatan lanjut.

    Bagaimanapun pihak polis meminta bantuan orang ramai yang terlihat kegiatan atau orang mencurigakan di sekitar kawasan kejadian supaya tampil mana-mana balai polis untuk memberi keterangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda