Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Rangka kanak-kanak korban Chimu ditemui

LIMA – Ahli arkeologi di Peru menemui 227 rangka di tapak cari gali yang pernah didiami kebudayaan pra-Columbia, Chimu, sekali gus menjadi penemuan terbesar ekskavasi kanak-kanak yang dipersembahkan sebagai korban.

Sejak tahun lepas, kumpulan arkeologi itu mencari gali di tapak upacara korban di Huanchaco, iaitu bandar tepi pantai tumpuan pelancongan di utara ibu kota berkenaan.

Ketua ahli arkeologi, Feren Castillo, berkata ia menjadi tapak terbesar yang menyaksikan kanak-kanak mangsa korban ditemui. Castillo berkata, kanak-kanak antara empat hingga 14 tahun, dikorbankan dalam upacara untuk menyembah dewa dalam kebudayaan Chimu.

Beliau berkata, masih ada kemungkinan lebih banyak rangka akan ditemui. “Ia tidak terkawal ketika mencari gali kerana di mana-mana sahaja kami melakukan eskavasi, kami akan menemui rangka,” katanya.

Rangka kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan menghadap ke laut. Sebahagiannya masih memiliki kulit dan rambut. Huanchaco adalah tapak yang banyak kanak-kanak dikorbankan ketika era kebudayaan Chimu yang mencapai kemuncak kegemilangan antara 1200 hingga 1400.

Buat pertama kali, ahli arkeologi menemui rangka kanak-kanak di tapak ekskavasi di bandar berhampiran, Pampa la Cruz pada Jun 2018, sekali gus berjaya mengeluarkan 56 rangka. Pampa la Cruz terletak berhampiran dengan Huanchaquito yang penggaliannya berjaya menemukan 140 rangka kanak-kanak korban dan 200 haiwan llama pada April 2018. Tamadun Chimu wujud di sepanjang pinggir laut Peru hingga ke Ecuador tetapi lenyap pada 1475 selepas dijajah Empayar Inca. – AFP

Rangka kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan menghadap ke laut, sebahagiannya masih memiliki kulit dan rambut. – AFP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda