Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia untuk Sektor Hospitaliti dan Pelancongan (MISC-WG H&T) iaitu sebuah jawatankuasa di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC), hari ini melancarkan Rangka Kerja Kompetensi dan Laluan Kerjaya untuk Sektor Hospitaliti dan Pelancongan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan Rangka Kerja Kompetensi dan Laluan Kerjaya untuk Sektor Hospitaliti dan Pelancongan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi MPEC.
Majlis yang berlangsung di JPM itu turut menyaksikan penyampaian sijil kursus bahasa untuk pemandu pelancong dan juga graduan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) oleh Yang Berhormat Dato.
Turut hadir menyaksikan pelancaran itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan tetamu khas yang lain.
Di majlis itu, Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku pemimpin bersama MISC H&T dalam ucapannya antara lain menjelaskan, industri ini menawarkan pelbagai peranan pekerjaan dan laluan kerjaya untuk individu yang mencari pekerjaan atau pertumbuhan profesional.


Katanya lagi, “MISC H&T telah membangunkan rangka kerja kecekapan untuk sembilan peranan pekerjaan yang antaranya, penyambut tetamu, atendan bilik, pembersih kawasan awam dan lainnya.”
Program-program tersebut telah disediakan dan dibangunkan secara meluas, dan usaha bersepadu dengan input daripada MISC-WG H&T bersama-sama dengan Kumpulan Teknikal Pembangunan Kompetensi MISC-WG H&T.
“Mereka ini terdiri daripada wakil kerajaan, industri, institut pengajian tinggi dan penyedia latihan,” jelasnya.
Beliau seterusnya menjelaskan mengenai fungsi rangka kerja dan laluan kerjaya untuk pembangunan profesional untuk pekerja baharu dan yang sedia ada.
Katanya lagi, “Ini akan membolehkan pelbagai laluan kerjaya bergantung pada set kemahiran seterusnya membuka peluang untuk kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi permintaan pasaran agar kekal relevan dalam pasaran pekerjaan dan memastikan kebolehpasaran mereka.”
Dalam ucapan Hajah Tutiaty turut mengongsikan tujuan rangka kerja kompetensi dan dengan penubuhannya, majikan dapat menentukan gaji, menilai tahap kemahiran pekerja berdasarkan piawaian industri, memadankan kemahiran pekerja dengan kerja yang diperlukan dan dapat mengiklankan keperluan pekerjaan mengikut spesifikasi standard.
Manakala bagi pekerja pula, mereka akan dapat memahami jangkaan majikan terhadap kecekapan dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap terhadap skop kerja tertentu.
Di majlis itu, tetamu kehormat dan tetamu yang lain berpeluang melihat pameran daripada MISC-WG H&T, Universiti Brunei Darussalam, IBTE, Pusat Pembangunan Belia dan LCB.

