TOKYO, 16 MEI – Rangka manusia disyaki ditemui dalam sebuah bekas mengandungi logam cair, di sebuah kilang keluli dekat barat Jepun beberapa jam selepas seorang pekerja dilaporkan hilang, kata polis hari ini.
Jurucakap polis, Eijiro Kawano, memberitahu AFP bahawa seorang lelaki berusia 30 tahun bertindak membunyikan penggera di kilang Nippon Steel dekat Oita kelmarin.
“Selepas pencarian bersama-sama dengan pekerja kilang, kami menjumpai rangka yang kelihatan seperti tulang manusia dalam sebuah bekas.
“Kami tidak tahu sama ada ini benar-benar tulang manusia atau ia milik pekerja yang hilang berusia 30 tahun itu.
“Tetapi jika itu tulang lelaki, mungkin pekerja itu jatuh ke dalam bekas.
“Dengan penuh harapan ujian DNA akan membantu kami mengetahui,” katanya sambil menambah polis sedang meneliti sama ada mana-mana pekerja menyaksikan apa yang berlaku.
Menurut Kawano, bekas itu dilaporkan mengandungi logam cair yang dipanaskan hingga melebihi tahap 1,000 darjah Celsius dan memiliki kedalaman empat meter yang terletak kira-kira lima meter di bawah tempat lelaki itu bekerja.
Sementara itu, jurucakap kilang Nippon Steel memaklumkan AFP bahawa pihaknya masih menyiasat insiden itu. – AFP