Thursday, July 17, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rangka manusia ditemui dalam kereta di lokasi kebakaran

    TUTONG, 9 JUN – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden kebakaran rumah yang membawa kepada penemuan rangka manusia.

    Penemuan rangka manusia dalam kereta di lokasi kebakaran rumah. – Gambar serahan PPDB

    Balai Polis Lamunin telah menerima laporan pada 8 Jun kira-kira jam 12 tengah hari mengenai kejadian kebakaran sebuah rumah di kawasan Kampung Batang Mitus.

    Semasa operasi memadam kebakaran, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menemui rangka dipercayai rangka manusia di dalam sebuah kereta yang turut musnah dalam kejadian, berhampiran rumah tersebut.

    Gambar serahan PPDB

    Hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan telah digunakan oleh seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun pada hari kejadian.

    Bedah siasat yang dijalankan ke atas rangka tersebut tidak dapat mengenal pasti punca kematian. Namun begitu, sampel darah dan air kencing yang diperoleh telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik untuk ujian dan pengesahan DNA.

    Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta keadaan yang membawa kepada kematian tersebut.

    Rumah terbakar di kawasan Kampung Batang Mitus. – Gambar serahan PPDB

    Sehubungan itu, orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi kejadian diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi talian kecemasan polis di 993 bagi membantu siasatan.

    PPDB turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Diharap semua pihak menghormati kehidupan peribadi atau privasi mangsa dan keluarganya dalam tempoh yang sukar ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda