GENEVA, 17 FEB – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan hari ini, ‘sekarang atau tidak sama sekali’, untuk mencapai persetujuan global mengenai cara menangani pandemik pada masa akan datang, walaupun Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada rundingan tersebut.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata tidak ada negara yang dapat melindungi negaranya sendiri daripada pandemik seterusnya, setelah tiga hari selepas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, secara rasmi memberitahu agensi kesihatan PBB bahawa mereka tidak akan menyertai rundingan perjanjian pandemik.
“Kita berada di titik penting ketika anda hendak memuktamadkan perjanjian pandemik pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia” kata Tedros pada Mei ini, kepada negara-negara anggota WHO, pada pembukaan rundingan pusingan ke-13 selama seminggu di ibu pejabat WHO di Geneva.
“Ia sememangnya soal sekarang ataupun tidak sama sekali. Tetapi, saya yakin bahawa anda akan memilih sekarang, kerana anda tahu apa risikonya.”
Bimbang akan berulangnya kehancuran yang diakibatkan COVID-19 pada Disember 2021, yang membunuh berjuta-juta nyawa, melumpuhkan sistem kesihatan, dan meruntuhkan ekonomi – negara-negara anggota memutuskan untuk merangka perjanjian baharu mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kes pandemik.

Walaupun sebahagian besar draf teks telah dipersetujui, pertikaian masih berlanjutan mengenai beberapa peruntukan utama, terutamanya mengenai perkongsian akses kepada patogen dengan potensi pandemik dan kemudian perkongsian saksama manfaat yang diperoleh daripada mereka, seperti vaksin, ujian dan rawatan.
“Awda tentu ingat pengajaran berharga daripada COVID-19, yang menyebabkan kematian kira-kira 20 juta saudara kita dan ia tetap terus membunuh.”
“Kerana merekalah, kita di sini iaitu untuk melindungi generasi masa depan daripada impak pandemik pada masa akan datang,” kata Tedros.
“Pandemik yang seterusnya ialah soal ‘bila’, bukan ‘jika’. Ada banyak peringatan di sekeliling kita – Ebola, Marbug, campak, mpox, influenza, dan ancaman wabak seterusnya iaitu wabak X.”
Tedros turut mengatakan bahawa Washington secara rasmi telah memaklumkan kepada WHO pada hari Jumaat yang lalu mengenai penarikan AS daripada rundingan perjanjian tersebut. – AP