Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Salah satu cabaran utama yang dihadapi negara ialah kebergantungan tinggi terhadap import makanan, di mana lebih 70 peratus bekalan negara masih diperoleh dari luar.
Dalam konteks ini, dengan menyambut baik usaha kerajaan dalam mengembangkan Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol, yang disasarkan mengeluarkan hasil sebanyak 2,088 metrik tan beras setahun. Walau bagaimanapun, untuk memastikan negara mencapai kadar sara diri yang lebih tinggi, kita perlu melihat lebih mendalam kepada struktur industri pertanian secara keseluruhan.
Maka dalam hal ini adalah dicadangkan agar kerajaan mewujudkan Rangka Tindakan Keselamatan Makanan Nasional yang lebih komprehensif, yang tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran semata-mata tetapi juga membina ekosistem pertanian yang lebih holistik. Ini termasuk kajian strategik terhadap tanah pertanian yang berpotensi, peningkatan sistem pengairan yang lebih efisien, serta insentif kepada sektor swasta untuk melabur dalam pengeluaran makanan tempatan.
Perkara pandangan dan cadangan berkenaan antara yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan MMN ke-21 bagi hari keempat di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
“Kaola juga ingin mencadangkan supaya kerajaan memperluaskan kerjasama dengan sektor swasta dan institusi penyelidikan bagi meningkatkan inovasi dalam bidang pertanian dan pemprosesan makanan. Kerajaan boleh menggalakkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan benih padi tahan penyakit, sistem pengairan pintar, serta teknologi pemprosesan makanan yang lebih cekap dan selamat. Ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa, tetapi juga mengurangkan kos pengeluaran dalam jangka masa panjang,” tambah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyuarakan dalam perbahasan berkenaan bahawa bagi meningkatkan nilai tambah kepada hasil pertanian tempatan, industri pemprosesan makanan perlu dipertingkatkan. Pada masa ini, banyak hasil tani yang berlebihan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kekurangan fasiliti pemprosesan makanan berskala komersial.
“Oleh itu, kaola mencadangkan kerajaan memperkenalkan dana yang boleh digunakan untuk membangunkan lebih banyak kilang pemprosesan makanan berskala kecil dan sederhana di daerah-daerah, memberikan geran bagi mendapatkan pensijilan halal antarabangsa dan standard eksport yang ketat bagi membolehkan produk tempatan menembusi pasaran global, serta menyediakan insentif khas untuk syarikat yang ingin melabur dalam R&D pemprosesan makanan termasuk penggunaan bahan semula jadi dan formulasi produk inovatif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai keperluan untuk mewujudkan Hab Agromakanan Nasional, yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk menyokong keseluruhan rantaian nilai industri pertanian dan makanan. Hab ini boleh menempatkan pusat penyelidikan pertanian, fasiliti pemprosesan makanan, gudang penyimpanan, serta pusat latihan usahawan tani. Dengan adanya hab ini, sektor pertanian dan makanan akan lebih tersusun, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan keberkesanan operasi dan pemasaran produk tempatan.
Jelasnya lagi, keusahawanan merupakan tunjang utama kepada pertumbuhan sektor bukan minyak dan gas, dan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, dan usahawan tempatan. Walaupun terdapat skim pembiayaan seperti DARe, ramai usahawan masih menghadapi cabaran dalam mengakses modal dengan syarat yang lebih fleksibel.
“Kaola mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan dana bagi pembiayaan pertumbuhan usahawan, yang memberikan akses kepada pinjaman bersubsidi dengan kadar faedah lebih rendah kepada syarikat yang membangunkan teknologi pertanian, pemprosesan makanan, dan perdagangan digital,” kongsi Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat turut menyentuh dengan melihat keperluan bagi satu program khas untuk mempercepatkan pendigitalan perniagaan dalam sektor pertanian dan makanan. Kerajaan boleh mewujudkan inisiatif yang membantu petani dan usahawan tani dalam memanfaatkan platform e-dagang dan teknologi digital untuk pemasaran produk mereka.