Rangkaian intip Rusia ditumpaskan

PRAGUE, 21 OKT – Polis dan perkhidmatan risikan Czech berkata hari ini mereka telah menumpaskan satu rangkaian pengintipan Rusia yang beroperasi menerusi kedutaannya di Prague.

Ia didakwa ditubuhkan untuk menyerang sasaran Czech dan negara asing menerusi server komputer.

“Rangkaian itu dimusnahkan sepenuhnya,” kata Michal Koudelka, ketua perkhidmatan risikan BIS Republik Czech, di parlimen, dipetik oleh agensi berita Czech CTK.

Beliau berkata ia merupakan satu lagi rangkaian yang ditubuhkan oleh Rusia di negara Eropah lain, tanpa menamakan mereka.

“Ia ditubuhkan oleh orang yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan risikan Rusia dan dibiayai dari Rusia dan kedutaan Rusia,” kata Koudelka.

Pusat Jenayah Terancang Nasional (NCOZ), yang membantu menumpaskan rangkaian itu, enggan memberi komen apabila dihubungi oleh AFP, memetik prosiding jenayah berterusan dalam perkara itu.

Pada September, agensi risikan Czech NUKIB berkata Rusia dan China menimbulkan ancaman terbesar kepada keselamatan siber di Republik Czech, negara bekas komunis yang menyertai NATO pada 1999.

Ia menambah China berada di sebalik serangan siber besar ke atas institusi kerajaan di Republik Czech pada tahun lalu. – AFP