Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rangkaian jenayah Asia merebak ke pelosok dunia

    BANGKOK, 22 APRIL – Rangkaian jenayah Asia yang mengendalikan pusat penipuan siber bernilai berbilion dolar kini semakin berkembang ke seluruh dunia dalam usaha mencari mangsa baharu dan cara baharu untuk mencuci wang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.

    Sindiket jenayah dari China dan Asia Tenggara meraih puluhan bilion dolar setiap tahun dengan menyasarkan mangsa melalui penipuan pelaburan, mata wang kripto, percintaan dan pelbagai lagi – menggunakan tenaga kerja yang kebanyakannya diperdagangkan dan dipaksa bekerja dalam keadaan daif di kompleks tertutup.

    Aktiviti tersebut kebanyakannya berpusat di kawasan sempadan Myanmar yang tidak berada dalam kawalan serta di zon ekonomi khas yang mencurigakan di Kemboja dan Laos.

    Namun, laporan baharu Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) memberi amaran bahawa rangkaian ini sedang membina operasi di Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah, Eropah dan beberapa pulau di Pasifik.

    “Kami melihat pengembangan global kumpulan jenayah terancang dari Asia Timur dan Asia Tenggara,” kata Benedikt Hofmann, Wakil Serantau Pemangku UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik.

    Negara-negara di Asia Timur dan Tenggara dianggarkan telah mengalami kerugian sekitar AS$37 bilion akibat daripada penipuan siber pada tahun 2023, menurut laporan UNODC. – AFP

    Lebih 250 orang dari 20 negara diselamatkan dari pusat penipuan di Myanmar dan dilaporkan menyeberang ke wilayah Tak, Thailand pada 12 Februari 2025. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda