DETROIT, 30 JUN – Rangkaian pengecas pantas kenderaan elektrik kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan menambah kabel penyambung Tesla kepada stesen pengecasannya, satu lagi langkah ke menuju kepada penggunaan kabel penyambung Tesla sebagai standard industri.
Electrify America, dengan 800 stesen pengecasan pantas arus terus dan lebih daripada 3,600 penyambungan di seluruh negara, berkata kelmarin ia akan berusaha menambah penyambung Tesla kepada pengecas sedia ada dan akan datang menjelang 2025.
Anak syarikat Volkswagen, yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada skandal penipuan pelepasan diesel syarikat, adalah yang kedua selepas Tesla dalam jumlah penyambungan pengecasan pantas di AS.
“Kami berharap dapat terus menyokong piawaian seluruh industri yang meningkatkan kebolehoperasian kenderaan dan menyelaraskan pengecasan awam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Electrify America, Robert Barrosa dalam satu kenyataan.
Syarikat itu juga akan menggunakan Sistem Pengecasan Gabungan (CCS) di stesen-stesen mereka. Pada masa ini kebanyakan model ken-deraan elektrik di AS menggunakan penyambung CCS.
Tetapi Ford, General Motors, Rivian dan Volvo telah berkata mereka akan menyertai rangkaian Supercharger yang besar milik Tesla dan mengguna penyambung Standard Pengecasan Amerika Utara dalam versi baharu kenderaan elektrik mereka. Syarikat lain seperti Stellantis dan Hyundai sedang mempertimbangkan untuk menyertai rangkaian Tesla.
Selain itu, ChargePoint, yang memiliki bilangan stesen pengecasan paling banyak daripada mana-mana rangkaian di AS, berkata ia akan mula menawarkan penyambung Tesla kepada tuan rumah tempat pengisian pada tahun ini. – AP
