Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rangkaian PlayStation kembali beroperasi selepas gangguan 24 jam

    WASHINGTON, 9 FEB – Perkhidmatan dalam talian Sony PlayStation telah kembali beroperasi kelmarin, selepas mengalami gangguan selama 24 jam yang mengecewakan para pemain di seluruh dunia.

    Rangkaian PlayStation “telah dipulihkan. Awda kini seharusnya boleh mengakses ciri-ciri dalam talian tanpa sebarang masalah,” menurut kenyataan di X sekitar tengah malam, 24 jam selepas mesej pertama yang mengakui pengguna menghadapi ‘kesukaran melancarkan permainan, aplikasi atau ciri rangkaian.’

    “Maaf atas kesulitan ini!” tambahnya, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai sebab gangguan tersebut.

    Kegagalan rangkaian itu menyebabkan ramai pemilik konsol Sony, termasuk PS4 dan PS5, tidak dapat bermain Fortnite dan Call of Duty bersama pemain lain.

    Laman web khas DownDetector.com melaporkan bahawa kesulitan pengguna memuncak dengan mendadak sekitar jam 7 malam pada Jumaat, sebelum menurun secara beransur-ansur, namun tidak sepenuhnya kembali normal.

    Para pemain meluahkan ketidaksabaran dan kemarahan mereka di media sosial semasa gangguan tersebut.

    Seorang pengguna berkata di X bahawa ia ‘jenayah’ untuk mengalami gangguan PlayStation pada petang Jumaat, namun seorang lagi secara santai berkata bahawa ia adalah masa yang baik untuk ‘memperkenalkan semula diri kepada wanita yang dikahwininya lima tahun lalu’. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pengunjung berdiri di salah sebuah petak PlayStation di Ekspo Hiburan Elektronik E3 ke-24 di Pusat Konvensyen Los Angeles. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda