INDIAN WELLS, California, 29 Jan – Rangkaian konservatif Koch merancang membelanjakan antara AS$300 juta dan AS$400 juta untuk mempengaruhi politik dan dasar awam dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan memperkukuhkan usahanya di seluruh negara dalam tahun-tahun awal Donald Trump menyandang jawatan presiden.
Para pegawai rangkaian itu mendedahkan anggaran kasar rancangan perbelanjaan mereka semalam ketika para penyumbang berhimpun di sebuah hotel mewah di peranginan California.
Pelaburan, yang disokong oleh rangkaian meluas seluruh negara pertubuhan itu, meletakkan keluarga usahawan bilionair untuk berperanan utama dalam perdebatan berhubung beberapa keutamaan Trump, meskipun yang mereka bantah.
“Kami baru saja bermula,” usahawan bilionair, Charles Koch berkata pada resepsi pembukaan bagi persidangan hujung minggu, yang menarik minat lebih 350 penyumbang, setiap mereka bersedia untuk menyumbangkan kira-kira AS$100,000 setiap tahun kepada pelbagai kumpulan dasar dan politik konservatif yang disokong oleh anggota keluarga lelaki Koch.
Koch dan kebanyakan penyumbang utamanya enggan menyokong Trump sebelum pilihan raya dengan mempersoalkan tentang kesediaan beliau bagi jawatan itu dan juga dedikasi beliau kepada prinsip konservatif. Terdapat tanda-tanda ketegangan apabila para penyumbang tiba semalam.
Nama Trump tidak disebut oleh Koch atau empat orang lagi penceramah hari itu, pada resepsi alu-aluan. Penyumbang utama kumpulan itu tidak mengendahkan pentadbiran baru dan sebaliknya menekankan bahawa rangkaiannya berjaya membantu mengekalkan majoriti Republikan dalam Senat.
“Gunakan ini sebagai peluang untuk membantu kami benar-benar mengorak langkah ke hadapan dalam membawa negara ke arah masa depan yang lebih cerah kini, sementara peluang ada. Oleh sebab kita mungkin tidak mendapat peluang seperti yang kita ada hari ini,” Koch berkata tanpa menyebut nama presiden.
Rancangan perbelanjaan rangkaian itu untuk melangkah ke hadapan menandakan pertambahan daripada jumlah yang telah dibelanjakan dua tahun sebelum pilihan raya 2016, iaitu kira-kira AS$250 juta. – AP