Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar telah mengharumkan negara apabila meraih anugerah emas dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran bagi Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia ke-45 (MTQSS KPM) Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Perlis di Malaysia, baru-baru ini.
Dalam musabaqah berkenaan, beliau menyertai Kategori Antarabangsa Bahagian Tilawah dan berjaya membawa pulang wang tunai, piala dan hadiah iringan berserta sijil.
Penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putera, Arau, Perlis, Malaysia telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah binti Datuk Khalil.
Kepulangan Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, telah dialu-alukan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar; Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Madzneh bin Haji Mohd Noor; Ketua Bahagian Perhubungan Awam KHEU, Awang Hassan Baha bin Haji Umar serta timbalan-timbalan pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Hajah Surinah binti Haji Kula dan Dayangku Aidi Norintan bin Pengiran Haji Zinin.
Wakil negara telah diiringi oleh Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli selaku pengurus rombongan dan jurulatih.
Doa Selamat dan kesyukuran dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Mohd Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.
Musabaqah berkenaan mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah, Kategori Sekolah Menengah dan Kategori Antarabangsa.
Bagi Kategori Antarabangsa, tempat terbaik (platinum) disandang oleh peserta dari Republik Indonesia, manakala itu, anugerah emas diberikan kepada lima orang peserta iaitu peserta Negara Brunei Darussalam, dua dari Malaysia dan dua lagi dari Thailand diikuti dengan anugerah perak dimenangi oleh peserta dari Thailand dan anugerah gangsa juga menjadi milik peserta dari Thailand.
