LONDON, 30 MEI – Manchester United kelmarin mengumumkan bahawa Ralf Rangnick telah memutuskan untuk tidak mengambil peranan sebagai konsultan bersama kelab gergasi bola sepak Inggeris itu kerana tuntutan tugas baharunya sebagai pengurus Austria.
Sebelum ini, pengurus Jerman itu telah mengambil alih United secara sementara selama enam bulan sehingga berakhir musim 2021/22 selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November lalu.
Rangnick membimbing Manchester United ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris dengan 58 mata, jumlah pungutan terendah dalam era Liga Perdana, dan mereka hanya layak untuk beraksi di kejohanan peringkat kedua Liga Europa.
Pengendali berusia 63 tahun itu dijangka kekal di Old Trafford selama dua tahun sebagai konsultan, namun bulan lalu dia dilantik sebagai pengurus baharu Austria dan memegang dua jawatan itu bukanlah satu pilihan yang terbaik buatnya.
“Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Ralf Rangnick atas usahanya sebagai pengurus sementara sejak enam bulan lalu,” menurut satu kenyataan United.
“Dengan persetujuan bersama, Ralf kini akan menumpukan sepenuhnya kepada peranan baharunya sebagai pengurus pasukan kebangsaan Austria. Oleh itu dia tidak akan mengambil peranan sebagai konsultan di Old Trafford.
“Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Ralf dalam karier seterusnya,” tambah kenyataan tersebut.
Sembilan hari lalu, Rangnick turut memberitahu media bahawa dia telah menghubungi pengurus baharu United, Erik ten Hag mengenai semua bidang yang mungkin boleh dibantunya untuk meningkatkan prestasi United. – AFP