ROSEMARY yang berasal daripada benua Mediterranean dan ia juga adalah salah satu daripada herba yang biasa dijumpai di rak rempah di pasar raya seluruh dunia.
Ada sebab baik herba yang memiliki nama saintifiknya Rosmarins officnalis ini menjadi pilihan kepada kebanyakan tukang masak.
Dalam dunia masakan, Rosemary boleh dijadikan sebagai bahan dalam memanggang daging.
Ramai orang menggunakan Rosemary ketika mahu mengadakan acara barbeku.
Selain itu, Rosemary juga dikatakan boleh dijadikan sebagai bahan pembuatan cuka.
Tanaman ini boleh digunakan dalam pelbagai jenis cuka.
Herba ini bukan sahaja menambahkan rasa sedap pada masakan terutamanya pada masakan berasaskan ayam dan kambing tetapi ia juga memiliki sumber vitamin dan mineral seperti besi, kalsium dan vitamin B6.
Walaupun sejumlah kecil herba ini digunakan untuk memperasakan masakan namun ia memberikan kesan besar kepada tubuh.
Pertahanan kedua
Pengambilan daun Rosemary secara kerap dalam masakan akan membenarkan tubuh mengambil kebaikan yang terkumpul daripada sebatian organik dan fitokimia unik yang hadir dalam daun.
Banyak kebaikan yang boleh diberikan oleh Rosemary terhadap kesihatan tubuh.
Fungsi penting Rosemary adalah sebagai ejen anti keradangan dalam tubuh.
Asid carnosol dan carnosic iaitu dua jenis sebatian antioksidan dan anti keradangan yang ditemui dalam Rosemary yang dikatakan mampu mengurangkan keradangan pada otot, pembuluh darah dan sendi-sendi.
Ini menjadikan Rosemary mampu untuk dijadikan sebagai rawatan berkesan untuk pelbagai masalah kesihatan termasuklah tekanan darah, gout, artritis dan kecederaan yang dialami semasa pembedahan atau aktiviti fizikal yang berlebihan.

Dikatakan pengambilan Rosemary mampu untuk membantu memperbaiki ingatan dan membantu untuk meningkatkan kebijaksanaan dan tumpuan.
Walaupun dakwaan itu masih lagi dikaji, tetapi kesannya kepada otak telah menunjukkan berlakunya simpanan ingatan.
Otak yang cergas dikatakan mampu untuk memastikannya sentiasa muda.
Bau daun Rosemary dikatakan telah dikaitkan dengan peningkatan emosi dan melegakan tekanan kepada mereka yang mengalami kegelisahan kronik atau ketidakseimbangan hormon tekanan.
Apabila herba ini dimakan atau daunnya dijadikan sebagai salap yang ditampalkan pada tubuh, ia memberikan kesan yang hampir sama.
Aromaterapi turut menggunakan minyak pati Rosemary untuk tujuan yang sama tetapi pekatan bahan aktif tidak semestinya memiliki kesan positif terhadap tekanan dan emosi.
Bahan aktif dalam Rosemary adalah bersifat antioksidan, anti keradangan dan anti karsinogenik secara semula jadi.
Bahan sebatian antioksidan itu membentuk pertahanan kedua di belakang sistem imun tubuh dan Rosemary mengandungi sejumlah penting bahan sebatian yang berkuasa.
Antara bahan itu adalah termasuk asid rosmarinic, asid caffeic, asid betulic dan carnosol.


Kulit cantik luar dalam
Secara tradisional, Rosemary digunakan sebagai ramuan semula jadi untuk sakit perut, sembelit, kembung dan cirit-birit.
Kesan anti keradangan dan perangsangnya adalah penyebab besar kepada kesan ini. Dengan menambah Rosemary ke dalam diet seharian boleh membantu untuk mengatur pergerakan usus dan sistem gastrousus.
Mereka yang mengalami masalah nafas berbau boleh mengambil daun Rosemary sebagai ejen anti bakteria semula jadi dan baik sebagai penyegar mulut yang sekali gus memperbaiki masalah kesihatan dalam mulut.
Anda boleh merendam daun Rosemary ke dalam segelas air panas dan berkumur dengan air untuk membuang bakteria di dalam mulut.
Nafas anda setentunya akan menjadi segar dan bersih selepas melakukannya.
Sifat anti penuaan dalam herba ini menjadikan Rosemary terutama yang dalam bentuk minyak pati mampu untuk memberi kesan terhadap kecantikan kulit dalaman dan luaran.
Penggunaannya sama ada dalam bentuk minyak pati atau daun segar dikatakan mampu untuk menyembuhkan noda wajah dan meningkatkan seri dan hidrasi tubuh secara semula jadi.