Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Program i-Usahawan diadakan bertujuan untuk merangsang inovasi, mencetus kreativiti serta menggalakkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan para pegawai i-Ready sebagai nilai tambah kemahiran untuk persediaan setelah menamatkan program i-Ready di Kementerian Kesihatan.
“Pengetahuan yang diperoleh di Kementerian Kesihatan dan pengetahuan asas dalam bidang perniagaan diharap akan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pencarian pekerjaan.”
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Program i-Usahawan yang berlangsung di Makmal Inovasi Brunei, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.
Menurutnya dengan pengalaman yang diperoleh itu, para peserta boleh menjadikannya sebagai persediaan untuk menceburi alam perniagaan pada masa akan datang.
Dalam masa yang sama, tambahnya, dengan mengetahui bidang perniagaan, ia juga akan membantu individu menjalankan tugasan mereka di mana-mana sahaja sama ada di pihak kerajaan atau swasta.


Haji Maswadi seterusnya menyatakan penganjuran program itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong perkembangan usahawan tempatan dan menyediakan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan sumber daya yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam arena perniagaan yang semakin kompetitif.
“Program sebegini sudah setentunya akan mendukung hasrat negara bagi mempelbagaikan dan menjana pertumbuhan ekonomi melalui bidang keusahawanan dan membawa impak positif dalam menangani isu-isu pengangguran di negara ini,” katanya.
Program i-Usahawan yang diadakan oleh Kementerian Kesihatan telah dianjurkan bersama Darussalam Enterprise (DARe), Shell LiveWIRE Brunei dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah disertai oleh seramai 66 pegawai i-Ready yang sedang menjalani program perantis di Kementerian Kesihatan.
Program i-Usahawan merupakan usaha kolaboratif Kementerian Kesihatan dalam memanfaatkan pegawai-pegawai i-Ready yang mana akan dapat merangsang inovasi serta mencurahkan kreativiti idea keusahawanan dalam kalangan para pegawai i-Ready selepas menamatkan program i-Ready di Kementerian Kesihatan.
Program yang digelar Startup673 selama dua minggu itu mengandungi program-program komprehensif, relevan dan bermanfaat dalam bidang perniagaan yang akan dikongsi oleh beberapa fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan.

