NANTES , Perancis, 27 Jun – Claudio Ranieri menegaskan pencapaian hebatnya di Leicester City tidak diambil kira ketika dia mengambil alih tugasan bersama gergasi Perancis yang sedang tidur, Nantes.
“Saya rindu kembali ke padang. Tetapi kita mesti melupakan apa yang saya sudah lakukan di Leicester.
“Apa yang saya sudah capai di sana ialah unik. Ia tidak sama di sini,” kata pengendali berusia 65 tahun dari Itali itu ketika beliau diumumkan selaku jurulatih baharu.
Ranieri menandatangani perjanjian dua tahun dengan pasukan Ligue 1 itu untuk kembali sebagai jurulatih buat pertama kalinya sejak dipecat Leicester pada Februari lalu.
Beliau disingkirkan oleh kelab England itu kurang setahun selepas memimpin mereka untuk meraih gelaran Liga Perdana, yang dianggap kisah dongeng pada 2016 dan sekarang kembali ke Perancis, di mana dia sebelumnya mengendalikan Monaco.

Nantes adalah antara kelab Perancis paling berjaya dalam sejarah, tetapi kali terakhir memenangi gelaran ialah pada 2001 dan sering bergelut sejak itu.
“Nantes sudah menang lapan gelaran dan saya sangat bertuah berada di sini. Adalah penting untuk bersederhana sambil mengekalkan keyakinan bahawa kami boleh melakukan sesuatu yang bagus,” kata Ranieri.
“Tidak. Apa yang saya alami di sana begitu menakjubkan. Rasa cinta yang orang-orang Leicester tunjukkan ke-pada saya begitu menakjubkan. Lebih banyak berbanding memenangi Liga Perdana.
“Motivasi itu kekal kuat. Jika saya terus bekerja sebagai jurulatih, ia adalah kerana semangat dan cinta saya terhadap bola sepak, para pemain, masih kekal di sana. Saya begitu gemuruh apabila saya berada di rumah bersama isteri saya, saya lebih suka berada di sini,” selorohnya.
Nantes mengakhiri liga di tangga ketujuh musim lepas, persembahan terbaik mereka sejak 2004. Itu selepas Sergio Conceicao mengambil alih dalam bulan Disember dan menaikkan mereka dari bawah kedudukan liga. – AFP