MILAN, 25 Sept – Bekas jurulatih Roma, Claudio Ranieri masih lagi berdiam diri semalam ketika dia menjadi topik perbualan untuk menggantikan Eusebio Di Francesco yang kini berdepan tekanan di Stadium Olimpik.
Pemilik kelab, hartawan dari Amerika Syarikat, James Pallotta berkata dia “berang” selepas kelab gergasi Serie A itu jatuh ke tangga ke-14 susulan kekalahan 0-2 di Bologna.
Ranieri, 66, membimbing Leicester City menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2016, namun tidak membimbing sebarang kelab sejak meninggalkan kelab Ligue 1 dari Perancis, Nantes pada Mei lalu.
“Saya seorang peminat, Roma berada di hati saya, tetapi saya berharap Di Francesco boleh melangkah ke depan,” Raineri memberitahu Radio Anch’lo Sport apabila ditanya sekiranya dia berminat kembali ke kelab bandar kediamannya itu.
Bekas pemain pertahanan, Ranieri memulakan kerjaya bola sepak seniornya di Rom pada 1973 sebelum melatih kelab itu selama dua tahun dari 2009 – terlepas gelaran Serie A pada 2010.
“Scudetto tersebut hilang dalam setengah jam terakhir pada hari terakhir. Saya sering memikirkannya, walaupun sebahagiannya saya tebus di Leicester,” jelas bekas bos Chelsea, Napoli dan Inter Milan itu, berkata dia mahu terus terlibat dalam pengurusan.
Sementara itu, Scudetto percaya Roma menerima padah kerana menjual pemain utama, berbanding menyalahkan Di Francesco, 49, yang mengambil alih tugas pada 2017 dan membawa pasukan itu ke tangga ketiga musim lalu.
Penjaga gol Brazil, Alisson berpindah ke Liverpool ketika musim panas bersama pemain tengah dari Belgium, Radja Nainggolan ke Inter dan pemain tengah Belanda, Kevin Strootman berpindah ke Marseille.
“Di Francesco adalah salah seorang jurulatih muda terbaik yang kami miliki di Itali, disebabkan permainan kewangan adil pasukan itu terpaksa ditukar di mana tiga pemain yang menjadi tonggak Roma telah pun dijual,” katanya. – AFP