Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 26 April – Lebih 20 orang dalam kalangan ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) cawangan Daerah Belait telah menyertai projek gotong-royong membersihkan persekitaran pusat tersebut, di sini, kelmarin.
Projek tersebut merupakan salah satu aktiviti penggal kedua pusat tersebut yang antara lain turut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara ibu bapa dan penjaga serta anggota pusat berkenaan sekali gus bagi memupuk sikap bekerjasama membersihkan alam sekitar dan mencantikkan kawasan pusat tersebut.
Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar memberitahu Media Permata, kempen seperti itu diadakan empat kali dalam setahun.
Menurutnya, kempen berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Kumpulan Sokongan Keluarga (KSK) pusat itu, Awang Reduan Duraman dan di samping aktiviti kempen kebersihan, KSK turut mengendalikan beberapa aktiviti lainnya seperti lawatan dan hari keluarga.
Antara kerja-kerja yang dilakukan sepanjang kempen tersebut termasuklah memotong rumput, membaiki pagar dan sebagainya.
