KUALA LUMPUR, 3 MAC – Sasaran utama Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di bandar dan desa serta antara generasi muda dan tua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini penting memandangkan pandemik COVID-19 telah menimbulkan kesedaran mengenai keperluan bagi menyegerakan aspek penerimagunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital.
“Kita dijangka dapat melihat perubahan landskap ekonomi digital ke arah peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi.
“Tidak ketinggalan, aspek pengurusan perbankan dan kewa-ngan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai ‘10 Soalan Mengenai Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia’ yang dikeluarkan hari ini.
Rangka Tindakan yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL, telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021, selain menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia serta membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk dalam merapatkan jurang digital.– Bernama
