Tuesday, February 11, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raphinha ganti Vinicius

    RIO DE JANEIRO, 30 OGOS – Pemain sayap Barcelona, Raphinha dipanggil ke dalam skuad kebangsaan Brazil hari ini bagi menggantikan bintang Real Madrid yang cedera, Vinicius Junior ketika pasukan itu memulakan kempen kelayakan ke Piala Dunia 2026.

    Vinicius, yang terincut-incut ketika Madrid menang 1-0 ke atas Celta Vigo pada aksi La Liga Jumaat lalu, dilaporkan terpaksa berehat hingga enam minggu susulan kecederaan hamstring, menyebabkannya diketepikan bagi aksi kelayakan menentang Bolivia dan Peru pada 8 dan 12 September ini.

    Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) berkata jurulatih Fernando Diniz memanggil Raphinha untuk menggantikan bintang berusia 23 tahun yang cedera itu.

    Raphinha, 26, sebelum ini beraksi bersama Selecao pada Piala Dunia 2022 di Qatar, yang mana juara lima kali itu tersingkir di tangan Croatia pada suku akhir.

    Dia mengharungi permulaan liga yang buruk bersama Barcelona, dibuang padang selepas dilayangkan kad merah pada aksi pertama liga menentang Getafe dan terlepas dua perlawanan berikutnya.

    Ketiadaan Vinicius menyaksikan Neymar, 31, yang tiba di Arab Saudi bulan ini untuk memulakan kontrak lumayan bersama Al-Hilal, mengetuai serangan ketika Brazil memulakan kempen untuk memburu kejuaraan keenam Piala Dunia.

    Bagaimanapun, jurulatih kelab baharunya, Jorge Jesus dari Portugal baru-baru ini menimbulkan keraguan mengenai tahap kecergasan Neymar bagi tugasan antarabangsa apabila menyatakan dia mengalami kecederaan kecil. – AFP

    Aksi Raphinha mengawal bola semasa perlawanan La Liga antara Barcelona dan Getafe di stadium Coliseum Alfonso, Sepanyol pada 13 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda