Siapa tidak teruja andai dapat bekerjasama dengan legenda muzik bergelar sifu, Datuk M Nasir dalam projek single baharu.
Apatah lagi, M Nasir pernah mengkritik industri muzik ketika ini terlalu mengejar pendengar hingga kurang kreatif dan bereksperimen.
Tidak hairanlah, rapper, Kmy Kmo dan Luca Sicta cukup berbesar hati apabila sifu disegani itu bersetuju bekerjasama dalam projek single Zuhud.
Lagu yang diterbitkan Luncai Emas Sdn Bhd itu mendapat sentuhan Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf sebagai penerbit rakaman.
Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim berkata, single berkenaan mengandungi mesej tersirat dan tersurat.

“Sebenarnya, Zuhud adalah pesanan daripada kami kepada pendengar agar tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia ini.
“Setiap apa yang kita miliki di dunia, hanyalah bersifat sementara. Berbaliklah kepada matlamat kita untuk mencapai bahagia di alam akhirat.
“Saya dan Luca amat bersyukur kerana lirik lagu itu yang ditulis kami, diterima baik M Nasir. Ini adalah suatu penghormatan buat kami untuk bekerjasama dengan legenda muzik terkenal,” katanya kepada media.
Kmy dan Luca menghasilkan video muzik yang disiarkan dalam saluran Universal Music Malaysia sebagai pendamping visual kepada lagu itu. Video muzik yang dibintangi pelakon Azri Iskandar itu mampu mengundang keinsafan kepada penonton kerana menterjemahkan visual maksud sebenar Zuhud.
Percaturan nyata berbaloi apabila video muzik Zuhud yang baru tiga minggu dilancarkan di YouTube, sudah merekodkan lebih 720,000 tontonan.
Video muzik yang dilancarkan pada 20 Disember lalu itu mendapat sentuhan Yussuf Yunus dari produksi Cinemalaya Studios Sdn Bhd. – Agensi