Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Bagi memastikan kelancaran Majlis Hafl Al-Takharruj ke-14 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang akan diadakan pada 28 Ogos ini, raptai penuh bagi majlis tersebut telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh tersebut ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Pada tahun ini, seramai 454 graduan akan menerima ijazah dan sijil masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah, 73 graduan Ijazah Sarjana dan 328 graduan Ijazah Sarjana Muda.
Manakala 10 graduan akan menerima Ijazah Diploma Siswazah, 17 graduan dari pada program Diploma Tertinggi Kebangsaan, dan 12 penerima Diploma Kebangsaan.
Sementara itu, tujuh orang bakal graduan akan menerima Ijazah Khas Hafazan 30 Juzuk.
Pihak UNISSA berharap para graduan dapat bekerjasama dalam memartabatkan pendidikan Islam dan menjadikan UNISSA sebagai institusi yang unggul dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah dan nilai-nilai Islam. Para graduan juga diharap akan sentiasa bersedia meningkatkan potensi diri dengan menambah ilmu pengetahuan agar kemahiran seiring dengan permintaan ruang kerjaya hari ini.
Sehubungan itu, para graduan yang rasmi bergelar alumni boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Alumni, UNISSA dan Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri UNISSA bagi mendapatkan bantuan meningkatkan kapasiti diri kerana banyak Program Pembangunan Kerjaya yang telah dan akan disusun dan kebanyakannya diberikan secara percuma untuk alumni UNISSA.


