Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Daerah Brunei dan Muara merupakan daerah terakhir bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi 2025 yang akan berlangsung pada 12 Oktober di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddein, Bandar Seri Begawan.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran dan memantau persediaan awal serta persiapan latihan yang dilaksanakan, raptai penuh bagi majlis ramah mesra berkenaan dan persembahan khas yang membawa tema, ‘Raja Penyayang Julangan Rakyat’, telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025.
Juga hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara.




