Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raptai penuh HK-41

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Bagi memastikan acara berjalan dengan lancar pada Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) pada 23 Februari nanti, raptai penuh telah diadakan hari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

    Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut, pengerusi-pengerusi bersama jawatankuasa tertinggi sambutan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan yang lain.

    Perbarisan lalu dibahagikan kepada tiga kumpulan, Kumpulan A yang terdiri daripada kepala perbarisan iaitu pembawa bendera besar, kumpulan pembaca ikrar dan takbir, pembawa bendera negara dan logo, pasukan beruniform kerajaan, pasukan kadet dan persatuan beruniform, pasukan beruniform lain, sektor awam, jabatan daerah dan badan berkanun.

    Kumpulan B pula terdiri daripada sektor pendidikan manakala Kumpulan C terdiri daripada persatuan belia dan umum, syarikat swasta, pasukan cemerlang dan tujuh puak jati Brunei.

    Bagi persembahan, ia melibatkan tiga segmen iaitu persembahan pertama bertemakan Permata Bangsa, persembahan kedua adalah medley lagu-lagu patriotik manakala persembahan ketiga adalah Bersatu Mencapai Cita Negara.

    Upacara perhimpunan agung melibatkan 20,000 orang peserta daripada kalangan penuntut dan warga perkhidmatan awam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menyaksikan raptai penuh bagi Upacara Perhimpunan Agung Sambutan HK-41. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para peserta kelihatan bersemangat semasa sesi raptai penuh yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara peserta yang terlibat dalam persembahan sempena Upacara Perhimpunan Agung Sambutan HK-41. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda