Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raptai penuh Majlis Ramah Mesra bagi Daerah Tutong lancar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 17 JULAI – Daerah Tutong akan menjadi daerah pembuka tirai bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 yang akan berlangsung pada 23 Julai di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong.

    Sehubungan itu, raptai penuh bagi majlis ramah mesra tersebut telah diadakan di padang berkenaan, hari ini.

    Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 bagi tahun 2024.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri serta ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78 Tahun bagi Daerah Tutong.

    Semasa raptai penuh tersebut, tinjauan telah menyaksikan persediaan persembahan khas seterusnya meninjau lokasi-lokasi yang terlibat bagi sama-sama memastikan acara berjalan dengan lancar sebelum majlis kemuncak nanti.

    Bertemakan Raja Berdaulat Kesayangan Rakyat, persembahan khas bagi Daerah Tutong pada tahun ini menampilkan lebih 300 orang peserta yang antaranya terdiri daripada murid-murid sekolah rendah hingga penuntut-penuntut peringkat menengah di samping penyertaan daripada golongan belia dan barisan penyanyi tempatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menyaksikan raptai penuh bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk pada 23 Julai ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam raptai penuh yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda