Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Daerah Brunei dan Muara bakal menjadi daerah terakhir bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 bagi tahun 2023.
Sementara itu, untuk memastikan acara berjalan dengan lancar, raptai penuh bagi majlis berkenaan telah diadakan hari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77.
Yang Berhormat Dato membuat tinjauan persedia-an persembahan khas seterusnya meninjau lokasi sebelum acara kemuncak yang akan diadakan pada 30 Julai ini.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pegawai Daerah Brunei dan Muara dan ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi sambutan.
Pada tahun ini, persembahan khas bertemakan ‘Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja’ yang menampilkan penuntut sekolah kerajaan dan swasta, sekolah Rendah hingga ke peringkat menengah di samping penyertaan daripada agensi kerajaan dan swasta.