Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raptai penuh pastikan kelancaran

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Bagi memastikan kelancaran Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1447 Peringkat Negara yang akan diadakan pada 26 Jun, raptai penuh bagi majlis tersebut telah diadakan pagi tadi bertempat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Pada tahun ini, Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1447 Peringkat Negara akan diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara mulai pukul 5 petang dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

    Antara pengisian utama acara ialah bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah dan Doa Awal Tahun Hijrah.

    Majlis berkenaan dikendalikan bersama oleh KHEU; KHEDN; dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan membawa tema pada tahun ini iaitu Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan.

    Masyarakat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan Awal Tahun 1447 Hijrah. Di Negara Brunei Darussalam, yang majoriti penduduknya beragama Islam, seperti lazimnya akan menyambut ketibaan awal tahun baru Hijrah secara besar-besaran bagi mengembangkan dan menyebarkan lagi syiar Islam di negara ini, di samping menyemarakkan sambutan Ilal Hijrah 1447 bagi memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyaksikan raptai bagi memastikan kelancaran Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1447 Peringkat Negara yang akan diadakan pada 26 Jun. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara peserta yang terlibat dalam majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda