Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raptai penuh pastikan kelancaran majlis

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Bagi memastikan kelancaran Majlis Hafl Al-Takharruj ke-15 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang akan diadakan pada 21 Ogos ini, raptai penuh bagi majlis tersebut telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas hari ini.

    Hadir bagi menyaksikan raptai penuh tersebut Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Pada tahun ini, seramai 507 orang graduan akan menerima ijazah dan sijil masing-masing, dan daripada jumlah tersebut, 18 adalah penerima ijazah doktor falsafah, 79 graduan ijazah sarjana dan 343 graduan ijazah sarjana muda.

    Manakala 11 graduan akan menerima ijazah diploma siswazah, 34 graduan dari program diploma tertinggi kebangsaan, 16 orang penerima diploma kebangsaan, sementara itu, 6 orang bakal graduan akan menerima Ijazah Khas Hafazan 30 Juzuk.

    Pihak UNISSA berharap para graduan dapat bekerjasama dalam memartabatkan pendidikan Islam dan menjadikan UNISSA sebagai institusi yang unggul dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah dan nilai-nilai Islam.

    Seterusnya, para graduan akan sentiasa mencerminkan misi universiti untuk melahirkan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bertanggungjawab sosial dan berorientasikan komuniti agar kemahiran seiring dengan permintaan ruang kerjaya hari ini.

    Para graduan yang rasmi bergelar alumni boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Alumni, UNISSA dan Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri UNISSA bagi mendapatkan bantuan meningkatkan kapasiti diri kerana banyak Program Pembangunan Kerjaya yang telah dan akan disusun dan kebanyakannya diberikan secara percuma untuk alumni UNISSA.

    Semua di atas: Antara suasana raptai penuh Majlis Hafl Al-Takharruj ke-15 UNISSA yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda